PERANG di antara Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus, bukan rahsia lagi, tetapi yang pastinya menarik perhatian banyak pihak untuk melihat penyudahnya.
Adakah penamatnya akan menyaksikan Guan Eng tersenyum puas kerana ‘musuhnya’ berjaya dikeluarkan dari Pulau Pinang kerana kerajaan negeri sudah memutuskan perkhidmatan Nik Ali tidak diperlukan lagi di Pulau Mutiara?
Sehingga kini, belum ada tanda-tanda Nik Ali akan ditarik keluar dari Pulau Pinang. Malah, kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bahawa tiada sebab untuk membawa balik dan mengambil tindakan tata tertib ke atas Nik Ali, memberi tamparan hebat kepada Guan Eng.
Sokongan padu pucuk pimpinan sektor awam serta Kabinet serta pelbagai pihak, termasuk CUEPACS, adalah mesej jelas kepada rakyat untuk menunjukkan siapa sebenarnya Guan Eng.
Keputusan tegas Kerajaan Persekutuan mempertahankan Nik Ali yang cuba dijadikan kambing hitam oleh pemimpin DAP itu, amat signifikan bagi mengelak daripada rakyat mendapat gambaran salah, seolah-olah apa didakwa Guan Eng selama ini benar belaka dan beliau boleh berbangga, sekali gus menaikkan populariti di mata rakyat.
Sebenarnya, itulah yang cuba dimomokkan oleh Setiausaha Agung DAP itu kepada rakyat untuk membentuk satu persepsi negatif umum terhadap Kerajaan Persekutuan dan agensinya.
Malah, Nik Ali bukan penjawat awam pertama yang ditohmah secara liar oleh pakatan pembangkang kononnya tidak kompeten, tidak profesional dan patut dipecat. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan turut menerima nasib sama.
Terbaru, Mohd Sidek turut diheret ke dalam perbalahannya dengan Nik Ali. Adakah ini membawa maksud, Guan Eng mahu berkonfrontasi dengan sektor awam di negara ini yang majoritinya orang Melayu?
Guan Eng sedar penjawat awam seperti Nik Ali tidak mempunyai platform untuk menjawab apa juga tohmahan yang dilemparkan kerana terikat dengan etika dan peraturan berbanding dirinya yang saban hari mengadakan sidang media untuk mengulas pelbagai isu.
Maka, peluang itu digunakan seluas-luasnya dan berulang kali untuk menyampaikan mesej bagi membentuk persepsi dalam kalangan rakyat, walaupun ada kalanya berlaku ketidaktepatan atau salah fakta.
Misalnya, dalam serangan terbaru terhadap Nik Ali yang menyebabkan penjawat awam itu ‘naik angin’, Guan Eng menyalahkan Nik Ali dalam kes kecurian pasir di tanah seluas 33.92 hektar, sedangkan segala pemantauan dan penguatkuasaan terletak di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, iaitu pihak berkuasa negeri.
Untuk makluman, kes kecurian pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau, didedahkan Berita Harian pada 15 Julai lalu dan pada hari sama Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya memaklumkan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Pulau Pinang kerana tanah itu milik Kerajaan Persekutuan.
Tetapi, yang peliknya Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya menerima maklumat kegiatan itu lebih awal dan pada 5 Julai lalu siasatan mengesahkan berlaku pencerobohan, namun tiada tindakan susulan dilakukan. Malah, JKPTG hanya dimaklumkan pada 15 Julai lalu, iaitu pada hari Berita Harian menyiarkan kegiatan curi pasir. Jika pihak berkuasa negeri benar-benar Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT), kenapa begitu lama mengambil masa untuk dilaporkan kepada JKPTG.
Malah, laporan polis dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhammad Farid Saad daripada Barisan Nasional (BN), bukannya pihak berkuasa negeri. Malangnya, apabila kegiatan itu didedahkan media, Nik Ali, selaku pegawai Kerajaan Persekutuan tertinggi di Pulau Pinang, pula dipersalahkan.
Begitu juga dakwaan Guan Eng kononnya pejabat SDO tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis pelancaran projek Kereta Api Bukit Bendera adalah tidak benar kerana Ketua Menteri yang sampai ketika majlis sudah bermula, duduk di sebelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di barisan tetamu kehormat bersama Menteri Pelancongan, Datuk Dr Ng Yen Yen.
Ketua Menteri juga menyalahkan Nik Ali apabila Kabinet memutuskan dua pintu gerbang yang dibina di Taman Botani, Georgetown, dirobohkan walaupun sudah siap. Jemaah Menteri membuat keputusan itu berasaskan prinsip rakyat didahulukan selepas mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan dan pencinta alam. Malah, SDO tidak terbabit dalam proses penyediaan konsep dan reka bentuk Taman Botani.
Ketiga-tiga perkara itu dieksploitasi kerajaan pimpinan DAP untuk memberi gambaran buruk kepada rakyat terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan Pusat dan Nik Ali pula yang dijadikan kambing hitam kerana beliau selaku penjawat awam tertinggi Pusat di Pulau Pinang.
Lantaran tidak boleh tahan dan bersabar lagi, Nik Ali melepaskan geramnya selepas menghadiri mesyuarat di Bangunan Wisma Persekutuan, baru-baru ini menerusi satu kenyataan media.
“Saya akan terus dianggap pengecut kerana berdiam diri dan akhirnya menjadi bahan ‘scapegoat’ (kambing hitam) Guan Eng,” katanya sambil bertanya apakah niat sebenar Guan Eng yang seolah-olah bekerja kuat untuk mengeluarkannya dari Pulau Pinang.
Jadi, apakah niat sebenar Guan Eng?
Bagi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, tindakan Guan Eng itu tidak lebih daripada mencari publisiti murahan.
“Sepatutnya dia berbaik-baik untuk sama-sama membangunkan Pulau Pinang, tetapi apa yang berlaku seolah-olah sengaja nak cari gaduh, main politik untuk mencari publisiti murahan,” katanya.
Mungkin kata-kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim daripada Bebas, yang pernah melabelkan Guan Eng sebagai seorang diktator, cauvinis dan berfikiran seperti komunis, boleh dijadikan renungan dalam menilai perang antara Guan Eng-Nik Ali.
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT
-
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT :
PKR,Politik,Tengku Zafrul,UMNO
1 day ago
No comments:
Post a Comment