Tuesday, July 13, 2010

DAP pinggirkan penduduk Kg Pokok Assam


PULAU PINANG 12 Julai - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil mendakwa kerajaan negeri diterajui DAP memang bersikap perkauman dengan menindas orang Melayu.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berkata, sebagai contoh, dia kesal sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Koid Teng Guan daripada DAP yang seolah-olah enggan meluluskan peruntukan menaik taraf kemudahan asas sebuah kampung yang dihuni majoriti orang Melayu.

Akibatnya, jelas beliau, penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini terpaksa menikmati kehidupan serba kekurangan termasuk menghadapi banjir setiap kali hujan lebat.

"Kalau dia (Teng Guan) tidak bersifat perkauman, dia akan luluskan peruntukan tersebut.

"Kalau dia tidak tandatangani kelulusan bagi peruntukan itu, bermakna memang dia menindas orang Melayu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kampung Jalan Pokok Asam dihangatkan dengan isu pengusiran 200 penduduk asalnya oleh pemaju tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu di antara kedua-dua belah pihak.

Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Aminah yang juga Pengerusi Pusat Khidmat Bebas Negeri Pulau Pinang memberitahu, dia mewakili penduduk kampung membuat permohonan secara bertulis kepada Teng Guan pada 7 Januari lalu untuk mendalamkan parit, membaiki gelanggang sukan, melebarkan jalan dan menambah lampu jalan.

Pada 5 Februari lalu, katanya, dia menerima salinan surat daripada Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut yang menyatakan maklumat lengkap kerja-kerja menaik taraf tersebut dengan anggaran kos berjumlah kira-kira RM30,000.

Jelasnya, setiap wakil rakyat mempunyai peruntukan masing-masing untuk kebajikan penduduk di kawasan mereka.

Menurut Aminah, perkara tersebut telah berlanjutan hampir setahun lalu dan sehingga kini wakil rakyat berkenaan masih tidak memberikan sebarang maklum balas.

"Saya pernah berjumpanya di pejabat beberapa kali tetapi dia menyuruh saya berurusan dengan keraninya tapi permohonan itu masih tetap belum selesai.

"Saya juga cuba menghubungi telefon bimbit dia tapi suara yang menjawab tidak mengakui dia ialah Teng Guan," katanya.

No comments:

Post a Comment