Thursday, April 21, 2011
Pemuda UMNO Permatang Pauh bantu mangsa kebakaran di Kg Pelet
BUKIT MERTAJAM 20 April - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib seorang warga emas, Mohd. Roadhi Ishak, 58, yang ditimpa dua kejadian malang dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Dua minggu lepas, isterinya, Che Mah Awang, 52, yang sebelum ini membantunya berniaga menjual pisang goreng, tiba-tiba jatuh sakit akibat serangan jantung.
Ketika sibuk berulang alik menjaga Che Mah di hospital, ketabahan Mohd. Roadhi sekali lagi diuji apabila rumahnya di Kampung Pelet di sini musnah dalam kebakaran Isnin lalu, mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Menurut Mohd. Roadhi, Che Mah menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu tetapi keadaan kesihatannya semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
"Sementara isteri nak pulih, saya berhenti berniaga dulu untuk menjaganya. Entah bagaimana, rumah kami pula terbakar ketika kami sedang melawatnya di hospital.
"Saya terima segala ujian ini dengan hati yang ikhlas dan reda terhadap ketentuan Ilahi. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said, di sini hari ini.
Mohd. Roadhi memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, rumah pusaka milik keluarganya yang sudah berusia lebih 50 tahun musnah sama sekali dipercayai akibat litar pintas.
Katanya, ketika ini, dia menyewa sebuah rumah di kampung yang sama bersama isteri dan tiga anaknya sementara menunggu permohonan mendapatkan bantuan kewangan bagi membina semula rumahnya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya akan menanggung kos rumah sewa keluarga malang itu sementara menunggu permohonan mendapatkan rumah baru.
"Saya difahamkan, perkara ini sudah diajukan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan kita harap bantuan sewajarnya dapat dihulurkan bagi membolehkan keluarga ini membina semula kehidupan mereka," katanya.
Saturday, January 1, 2011
Pemuda UMNO lancar skim perlindungan kebajikan Pemuda UMNO





Semalam bertempat di Giat Mara Permatang Pauh, Program Juara Rakyat Bulan Kerjaya & Kemahiran telah diadakan dan merupakan program untuk akhir tahun 2010 ini . Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk sekitar Permatang Pauh.
Turut dilancarkan di dalam program kali ini ialah Skim Perlindungan Kebajikan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh bagi tahun 2011. Antara faedah-faedah utama skim ini adalah:
* Sekiranya berlaku kematian dikalangan Ahli, warisnya layak menerima sumbangan sebanyak RM 1000
* Sekiranya Ahli hilang keupayaan untuk bekerja, beliau akan mendapat wang saraan harian sebanyak RM 30 sehari (maksimum untuk 90 hari sahaja)
Antara tujuan skim ini dilancarakan adalah untuk menarik lebih ramai lagi masyarakat untuk menyertai UMNO serta menjaga kebajikan mereka sepanjang mereka bergelar sebagai ahli.
Tuesday, December 7, 2010
Murid cemerlang UPSR diraikan Penyelaras DUN Prmtg Pasir
| |
| MOHD. Zaidi Mohd. Said beramah mesra bersama sebahagian murid yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR 2010 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin. |
BUKIT MERTAJAM 6 Dis. - Seramai 38 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menerima penghargaan dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, di sini semalam.
Mereka terdiri daripada murid di enam sekolah iaitu SK Bukit Indera Muda, SK Permatang Pasir, SK Permatang Pauh, Sekolah Rendah Islam Al- Masriyah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kubang Semang dan SJKC Lay Keow.
Murid terbabit yang memperoleh 5A dalam peperiksaan itu menerima wang RM100 dan sijil penghargaan daripada Penyelaras DUN tersebut yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.
Turut hadir, Pegawai Kanan Sekolah Rendah Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Nasir Ahmad.
Mohd. Zaidi berkata, murid terbabit diingatkan supaya tidak terlalu dibuai-buai dengan kecemerlangan tersebut, sebaliknya berusaha lebih kuat dalam mendepani cabaran di peringkat sekolah menengah.
"Anda (murid) akan berdepan fasa baru dalam hidup apabila melangkah di sekolah menengah kelak. Cabarannya adalah jauh lebih besar dan bukan mudah untuk mengekalkan reputasi sebagai pelajar cemerlang.
"Jangan kita alpa dengan kejayaan ini sehingga kita terkandas di peringkat seterusnya, belajarlah bersungguh-sungguh dan sentiasa bersedia untuk menjadi pelajar lebih baik dan cemerlang pada masa depan," katanya.
Mohd. Zaidi turut menekankan keperluan supaya ibu bapa sentiasa memberi sokongan bukan sahaja dari aspek material tetapi juga moral agar anak-anak mempunyai motivasi serta kesungguhan untuk mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan lebih besar.
Dalam hubungan ini, jelasnya, kerajaan sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk bantuan serta kemudahan kepada pelajar supaya mereka dapat mengikuti suasana pembelajaran dengan lebih selesa.
"Kalau kita menoleh semula ke belakang, sudah banyak perubahan yang kita boleh lihat pada masa ini apabila anak-anak kita dapat menjalani suasana pembelajaran yang jauh lebih baik dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.
"Adalah amat malang jika segala kemudahan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana kerajaan sentiasa mahu memastikan sistem pendidikan kita terus berkembang sejajar dengan pembangunan yang semakin pesat," katanya.
Wednesday, November 17, 2010
Pemuda UMNO baiki rumah mangsa ribut

BUKIT MERTAJAM 16 Nov. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang warga emas, Yam Man, 71, dalam menyambut Aidiladha esok apabila rumahnya yang rosak akibat dihempap pokok pada 26 Oktober lalu kini berjaya dibaiki semula.
Semuanya atas keprihatinan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh yang tampil menghulurkan sumbangan bagi kerja-kerja menggantikan bumbung serta dinding rumah Yam yang rosak akibat kejadian itu.
Dengan kerjasama Koperasi Masyarakat Maju Berhad (Kop-Pusamaju), pergerakan itu turut bergotong-royong membaiki rumah warga emas itu.
Yam berkata, dia berasa sangat terharu apabila menerima kunjungan anggota pergerakan itu untuk membaiki rumahnya baru-baru ini.
"Alhamdulilah, masih ada pihak yang bersimpati dengan kehidupan saya dan sanggup membaiki rumah yang rosak menjelang Aidiladha ini.
"Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya hati saya dapat meraikannya di rumah sendiri," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, jika rumah itu masih belum dibaiki, dia terpaksa tinggal bersama anak saudaranya, Aminah Awang, 59, di kampung berhampiran.
Yam yang tinggal bersendirian di rumah tersebut memberitahu, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur kerana melawat anaknya yang bekerja di sana.
"Ketika berada di Kuala Lumpur, muka saya bengkak dan terpaksa dirawat di hospital beberapa hari. Berita mengenai kejadian itu hanya dimaklumkan jiran melalui telefon,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, pihaknya tampil membantu Yam membaiki rumahnya setelah mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
"Kop-Pusamaju turut memberi peruntukan bagi kerja mengganti bumbung dan dinding rumah yang rosak dengan kos hampir RM10,000 termasuk membuat pendawaian semula elektrik," katanya.
Monday, November 15, 2010
Sunday, October 17, 2010
Geng 16 Pemuda UMNO Prmtg Pauh tuntut perubahan
Kelmarin pada jam 9.00 malam berlangsung program Jamuan Ramah Mesra Transformasi Perjuangan UMNO Prtmg Pauh anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Prmtg Pauh diketuai Sdr Zaidi Mohd Said yang juga Penyelaras BN Dun Prmtg Pasir . Ia dihadiri seramai 400 orang ahli UMNO Prmtg Pauh terdiri daripada ahli Pemuda , ketua-ketua cawangan , ketua pemuda cawangan , Wanita dan Puteri .
Program semalam juga mencipta sejarah apabila Pemuda UMNO Bahagian diketuai Sdr Zaidi bersama seluruh AJK Pemuda Bahagiannya sebulat suara menyatakan suara mereka iaitu resolusi 16 perkara yang dituntut mereka perlu diselesaikan segera oleh kepimpinan bahagian.
Matlamat Pemuda UMNO Prmtg Pauh iaitu satu untuk menang di pilihanraya akan datang . Jadi ia harus bermula dengan perubahan dan 16 perkara ini harus diselesaikan dengan segera oleh kepimpinan bahagian . Semua sayap seperti Pemuda , Wanita, Puteri serta JKKKP perlu diperkasakan bagi menarik semula sokongan rakyat terhadap UMNO diketika parti PKR sedang bercelaru sesama mereka .
Wednesday, October 6, 2010
NGO Islam hantar memorandum kepada MAIPP isu tanah kubur
Mereka terdiri daripada Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP), Jemaah Islah Malaysia Pulau Pinang (JIMPP), Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim) dan Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM).
Pertubuhan-pertubuhan lain adalah Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API), Islamic Propogation Society International (IPSI), Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang (ABIM) dan Dewan Perniagaan Komtar (KMA).
Menurut Yang Dipertua Pajim, Yusoff Mohamed, sebagai badan yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga kesucian agama dan penduduk Islam, MAIPP perlu bertindak tegas meminta kerajaan negeri mewartakan beberapa lot tanah bagi dijadikan kawasan tanah perkuburan untuk orang Islam.
Katanya, akibat diabaikan, beberapa kawasan di negeri ini kini dilanda masalah akibat tanah perkuburan masing-masing yang semakin sempit.
Antaranya di kawasan Jelutong, Permatang Damar Laut, Taman Tun Sardon, Gelugor dan Kampung Makam.
''Tiga hari lalu, satu jenazah di Jelutong terpaksa dikebumikan di atas sebuah kubur lain yang jenazahnya masih baru yang mana kain kapan pun belum reput.
''Begitu juga di Gelugor, tiga minggu lalu, akibat tidak mempunyai saudara-mara, jenazah seorang lelaki terpaksa dikebumikan di tempat lain kerana peraturan sedia ada hanya membenarkan mereka yang berasal dari kawasan itu sahaja dikebumikan di situ," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil MAIPP, Kamal Said di pejabat MAIPP di sini hari ini.
Selain memorandum, mereka turut membawa kain rentang yang mengandungi tandatangan semua ahli terlibat.
Menurut Yusoff, Pajim dan beberapa NGO Islam lain juga telah berusaha untuk mengetengahkan permasalahan itu kepada kerajaan negeri, namun sehingga kini usaha mereka buntu apabila surat yang dihantar tidak dilayan pihak berkenaan.
''Kita juga sudah hantar surat untuk berjumpa Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tetapi sampai hari ini belum mendapat sebarang jawapan.
"Begitu juga dengan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim, sampai sekarang juga tidak berjawab," ujarnya.


