BUKIT MERTAJAM 16 Nov. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang warga emas, Yam Man, 71, dalam menyambut Aidiladha esok apabila rumahnya yang rosak akibat dihempap pokok pada 26 Oktober lalu kini berjaya dibaiki semula.
Semuanya atas keprihatinan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh yang tampil menghulurkan sumbangan bagi kerja-kerja menggantikan bumbung serta dinding rumah Yam yang rosak akibat kejadian itu.
Dengan kerjasama Koperasi Masyarakat Maju Berhad (Kop-Pusamaju), pergerakan itu turut bergotong-royong membaiki rumah warga emas itu.
Yam berkata, dia berasa sangat terharu apabila menerima kunjungan anggota pergerakan itu untuk membaiki rumahnya baru-baru ini.
"Alhamdulilah, masih ada pihak yang bersimpati dengan kehidupan saya dan sanggup membaiki rumah yang rosak menjelang Aidiladha ini.
"Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya hati saya dapat meraikannya di rumah sendiri," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, jika rumah itu masih belum dibaiki, dia terpaksa tinggal bersama anak saudaranya, Aminah Awang, 59, di kampung berhampiran.
Yam yang tinggal bersendirian di rumah tersebut memberitahu, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur kerana melawat anaknya yang bekerja di sana.
"Ketika berada di Kuala Lumpur, muka saya bengkak dan terpaksa dirawat di hospital beberapa hari. Berita mengenai kejadian itu hanya dimaklumkan jiran melalui telefon,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, pihaknya tampil membantu Yam membaiki rumahnya setelah mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
"Kop-Pusamaju turut memberi peruntukan bagi kerja mengganti bumbung dan dinding rumah yang rosak dengan kos hampir RM10,000 termasuk membuat pendawaian semula elektrik," katanya.
No comments:
Post a Comment