PULAU PINANG, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 bagi membolehkan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Ketua Menteri dan Speaker Dewan Undangan Negeri dilindungi faedah saraan kewangan jika mereka meninggal dunia semasa memegang jawatan masing-masing.
Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan di sini pada hari Sabtu berkata persidangan Dewan Undangan Negeri Isnin ini akan membuat pindaan kepada Enakmen itu bagi menambah faedah kepada anggota keluarga Adun sekiranya Adun meninggal dunia atau hilang upaya dalam tempoh memegang jawatan.
Beliau berkata pindaan itu adalah bagi memasukkan perkataan 'atau kematian' selain dari faedah kemalangan dalam enakmen tersebut, namun kematian yang dimaksudkan tidak termasuk dengan cara bunuh diri.
Katanya berdasarkan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 sedia ada, faedah itu hanya terhad kepada 'Faedah Kemalangan' sahaja, dan menurutnya pindaan itu adalah selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.
Lim berkata berdasarkan pindaan enakmen itu, jika Ketua Menteri meninggal dunia dengan cara biasa ataupun akibat bencana atau kemalangan, waris beliau akan menerima faedah berjumlah RM750,000.
Menurutnya bagi Speaker Dewan Undangan Negeri dan Anggota-anggota Exco Kerajaan negeri yang meninggal dunia secara biasa ataupun akibat kemalangan pula, waris mereka akan menerima faedah sebanyak RM500,000.
Lim berkata bagi Adun biasa yang meninggal dunia, waris mereka akan menerima faedah RM120,000.
Antara faedah lain dalam enakmen itu ialah jika Ketua Menteri ditimpa bencana yang mengakibatkan beliau hilang upaya kekal yang tidak dapat dipulihkan termasuk hilang penglihatan, beliau akan diberi faedah RM1.5 juta.
Bagi Speaker DUN dan Anggota Exco yang ditimpa bencana seumpama itu pula, mereka akan menerima faedah RM1 juta manakala bagi ADUN biasa pula akan menerima faedah RM240,000.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment